PBT SELANGOR

Naik taraf Bulatan Bestari siap Februari

SHAH ALAM, 18 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan kerja menaik taraf Bulatan Bestari Seksyen 2 siap sepenuhnya hujung Februari ini, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

Shahrin Ahmad berkata bagi fasa pertama ia dijadual siap 20 Januari ini dan laluan akan dibuka buat sementara pada 21 Januari.

Bagaimanapun, katanya bagi memastikan kerja-kerja itu siap sepenuhnya laluan di bulatan itu akan ditutup semula pada 30 Januari.

“Penutupan itu bagi kerja fasa kedua. Dalam tempoh itu, orang ramai masih boleh menggunakan Bulatan Bestari dengan mengikuti papan tanda arah lencongan,” kata Shahrin dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, MBSA turut menyediakan pelan penyuraian trafik untuk memastikan kelancaran kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.

Katanya, pengguna dari Seksyen 7 yang melalui Persiaran Institusi, Seksyen 3 (melalui Persiaran Raja Muda), Seksyen 2 (melalui Persiaran Masjid) dan Seksyen 16 (melalui Persiaran Raja Muda) masih boleh menggunakan Bulatan Bestari dengan mengikuti lencongan ditetapkan.

“MBSA meminta pengguna berhati-hati dan mematuhi had pemanduan yang ditetapkan demi keselamatan ketika melalui laluan itu,” katanya.


Pengarang :