Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Najib disoal beri kenyataan bercanggah

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini membela diri terhadap tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi di sini, disoal pihak pendakwaan berhubung percanggahan kenyataan kepada mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram menyoal Najib, 67, semasa pemeriksaan balas, sama ada beliau telah mengaku kepada penyiasat yang mengambil kenyataannya bahawa beliau mengenali beberapa dokumen berkaitan SRC International yang dikemukakan sebagai ekshibit di mahkamah.

Tiga dokumen tersebut ialah minit mesyuarat SRC International yang ditandatangani oleh Najib atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Sithambaram kemudian merujuk Najib kepada kenyataan saksi yang berkaitan dengan permohonan pinjaman oleh SRC kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang terdapat kenyataan: “Saya mengesahkan saya pernah melihat dokumen yang dirujuk dan semua kandungan dalam dokumen ini adalah dalam pengetahuan saya”.

Sithambaram: Semasa menandatangani kenyataan saksi ini, kamu tahu yang kamu telah membuat kenyataan kepada SPRM Ya atau tidak?

Najib: Betul.

Sithambaram: Walaupun kamu telah mengetahui kamu telah membuat kenyataan kepada SPRM, kamu terus menyatakan kamu tidak pernah melihat dokumen itu?

Najib: Benar. Ada sebabnya.

Najib juga terus mengulangi bahawa semasa siasatan SPRM, beliau hanya ditunjukkan dokumen-dokumen tersebut secara sepintas lalu dan membuat kenyataan sedemikian kerana melihat tandatangan menyerupai tandatanganya di atas kertas berkenaan.

“Saya keliru dengan tandatangan yang kononnya menyerupai tandatangan saya. Saya mengandaikan ia tandatangan saya. Saya tidak ingat semuanya, ini berlaku sembilan tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Bekas perdana menteri itu terus disoal Sithambaram mengenai kenapa beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan tandatangannya pada dokumen itu semasa prosiding mahkamah, Najib sekali lagi berkata ingatannya samar-samar dan hanya mendasarkan pada tandatangan yang ‘kononnya’ tandatangannya .

“Saya menandatangani banyak dokumen setiap hari … tahulah, mentadbir negara. Ada 1,001 perkara. Ini sudah terlalu lama berlaku. Apabila kes itu masuk ke mahkamah, baru saya tahu ada penipuan,” katanya.

Najib sekali lagi menegaskan bahawa beliau membuat pengesahan sebelum beliau berdasarkan pada tandatangan yang kelihatan seperti tandatangannya dan beliau tidak ditunjukkan dokumen asal.

“Saya tidak tahu ada penipuan. Perkara ini hanya dibangkitkan di mahkamah … tetapi sekarang saya ada keraguan tentang tandatangan itu,” katanya dan menambah bahawa beliau ‘terkeliru’ dengan tandatangan itu.

Sithambaram: Kamu tidak terkeliru dengan tandatangan itu. Kamu yang mengelirukan mahkamah.

Najib: Tidak. tidak.

Pada 11 November lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya berhubung dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :