AGENDA JENAYAH

Najib tidak pernah bangkitkan isu tandatangan palsu

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membangkitkan apa-apa isu mengenai pemalsuan tandatangan beliau dalam beberapa dokumen berkaitan SRC International Sdn Bhd sepanjang peringkat perbicaraan pendakwaan.

Pendakwa raya ad-hoc, Datuk V.Sithambaram berkata, malahan pihak pembela tidak membangkitkan isu itu semasa saksi pendakwaan ke-39, mengenal pasti tandatangan bekas perdana menteri itu semasa kes pendakwaan pada tahun lepas.

“Semasa kes pendakwaan itu, bekas pengerusi lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail telah mengenal pasti tandatangan ahli Parlimen Pekan itu. Pihak pembela tidak pula mencabar pengenalpastian tandatangan Najib ketika itu.

“Tidak ada penyangkalan kenapa dia (Ismee) mengenal pasti ini adalah tandatangan Najib. Ini adalah peluang untuk membangkitkan isu berkenaan,” kata Sithambaram.

Beliau menegaskan bahawa pihak pendakwaan tidak menyembunyikan apa-apa atau cuba mempermainkan pihak pembela.

“Semua kad ada di atas meja. Kita bukan bermain poker di sini. Keadilan bukan satu permainan. Ini bukanlah kes yang kita tidak memberi mereka peluang. Kita tidak menolak mereka ke satu sudut… 57 hari, tiada satu patah perkataan pun mengenai pemalsuan. Jadi, mahkamah perlu menolak permohonan itu,” kata Sithambaram.

Sithambaram juga berkata sebagai perdana menteri negara ini ketika itu, Najib sepatutnya membuat laporan polis jika dia mendapati dokumen yang belum ditandatanganinya hingga melibatkan banyak perkara.

“Laporan polis perlu dibuat dan dicabar dengan serta-merta kerana dipalsukan. Tetapi dia tidak berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata tidak ada keperluan bagi mahkamah untuk memanggil pakar untuk menyatakan jika tandatangan di atas tujuh dokumen itu dipertikaikan oleh pembela sama ada ia tandatangan Najib ataupun tidak.

Beliau berkata ini kerana Najib, sebagai yang tertuduh, sendiri boleh menyatakan sama ada tandatangan itu adalah miliknya.

– BERNAMA


Pengarang :