BERITA UTAMA

OCBC: KDNK dijangka 4.2-4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 15 JAN: OCBC Bank menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tumbuh di antara 4.2 peratus dengan 4.4 peratus tahun ini, manakala ringgit mengukuh kepada RM4.04 berbanding dolar AS menjelang akhir 2020.

Ketua Ekonominya Selena Ling berkata unjuran pertumbuhan KDNK itu, yang lebih perlahan berbanding 4.8 peratus yang diunjurkan kerajaan, sebahagian besarnya terjejas oleh faktor luaran seperti perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China serta perkembangan geopolitik di Timur Tengah.

Bagaimanapun katanya beberapa petunjuk kukuh daripada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 bagi matlamat ASEAN untuk meliberalisasikan pasaran serta integrasi serantau, boleh membantu pertumbuhan ekonomi di rantau ini termasuk Malaysia.

“Ini boleh menjadi pemangkin yang sangat baik untuk mengimbangi kecenderungan kepada pelindungan yang dilihat sejak dua tiga tahun lepas,” katanya pada taklimat media mengenai Unjuran Ekonomi 2020 OCBC Bank di sini hari ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat-mesyuarat APEC yang berlangsung sepanjang 2020.

Mengenai prestasi ringgit, beliau berkata ia akan disokong terutama oleh pegangan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), yang kini berada pada 41.6 peratus – tahap tertinggi sejak pertengahan 2018.

Menurut Ling, hasil perbendaharaan Asia – termasuk MGS 10 tahun Malaysia yang berada pada kira-kira 3.3 peratus – jauh lebih menarik berbanding penanda aras perbendaharaan AS 10-tahun yang berada pada 1.8 peratus.

“Inilah antara sebabnya mengapa kami mengunjurkan tukaran asing Asia, termasuk ringgit, akan mengatasi dolar US, memandangkan dolar AS tidak akan terus menyaksikan trend menaik yang kukuh dalam tempoh satu atau dua tahun lepas,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :