AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Op Selamat: 171 kematian direkodkan dalam tempoh 11 hari

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Sebanyak 171 kematian dan 155 nahas jalan raya yang mengakibatkan kematian direkodkan sepanjang 11 hari Op Selamat 16/2020 sempena perayaan Tahun Baharu Cina, sehingga 28 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 112 kematian.

Katanya, Selangor mendahului statistik bilangan kematian dengan 29, diikuti Johor (22), Sarawak (18), Pahang (17), serta Kedah dan Kelantan masing-masing 15.

Secara keseluruhan, Azisman berkata 16,942 kes kemalangan jalan raya direkodkan membabitkan 25,171 kenderaan sepanjang Op Selamat berkenaan.

“Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 4,702 kes, diikuti Johor (2,676), Kuala Lumpur (1,834) dan Perak (1,430),” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sepanjang tempoh itu juga, katanya sebanyak 290,567 saman dikeluarkan dengan 182,538 atau 62.8 peratus daripadanya membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini.

-BERNAMA


Pengarang :