AGENDANASIONAL

Op Selamat: 183 kematian pada hari ke-12

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Polis merekodkan 183 kematian daripada 166 kes kemalangan maut sehingga Khamis, iaitu hari ke-12 sejak Op Selamat 16/2020 dilancarkan 18 Januari lepas sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 119 kematian direkodkan.

Menurut beliau, Selangor kekal merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 28 kes, diikuti Johor (24 kes), Sarawak (16) manakala Pahang dan Kelantan masing-masing 15 kes.

“Dalam tempoh berkenaan, 18,830 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 5,302 kes diikuti Johor (2,944), Kuala Lumpur (2,095) dan Perak (1,584),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebanyak 313,936 saman turut dikeluarkan dengan 197,454 saman merangkumi enam kesalahan utama antaranya menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 akan berterusan sehingga Sabtu ini.

-BERNAMA


Pengarang :