Datuk Iskandar Halim Sulaiman memeriksa produk barang makanan dieksport yang ditunjukkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rex Trading Sdn Bhd, Datuk Cheah Teng Lim (kiri) ketika melaksanakan penguatkuasaan OPS CATUT 6.0 di kilang Rex Trading Sdn Bhd pada 7 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ops Catut 6.0: KPDNHEP sasar periksa 1,060 premis

BUKIT MERTAJAM, 8 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan pemeriksaan ke atas 1,060 premis dalam Operasi Antipencatutan 6.0 (Ops Catut 6.0) di seluruh negara bermula hari ini hingga 29 Februari depan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata operasi itu dijalankan untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasikan harga barangan di pasaran.

“(Operasi) dimulakan di Pulau Pinang iaitu di Rex Industry Berhad. Kalau di kilang tidak berlaku pencatutan, kita akan (periksa) di rantaian sehingga ke peringkat runcit sama ada berlaku pencatutan atau tidak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Catut 6.0, di sini.

Beliau berkata 2,000 pegawai penguat kuasa ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan Ops Catut 6.0 terhadap premis yang disenaraikan dan pihaknya mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

“Sekiranya berlaku pencatutan, tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. (Peniaga) boleh didakwa sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, Ops Catut mula dijalankan pada 1 September 2018 selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan 22 kertas siasatan dibuka pada 2018 manakala 118 kertas siasatan dibuka pada 2019.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata pihaknya kini giat menjalankan siasatan terhadap kenaikan harga bawang yang melampau susulan kekurangan bekalan makanan itu dari India.

“Kita sedang memantau supaya tiada yang ambil kesempatan. Kita sedang menyiasat penjualan bawang dengan harga tertinggi setakat ini berharga RM24 sekilogram,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :