AGENDANASIONAL

Oscar: Saingan sengit, Upin Ipin rekod pencapaian membanggakan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Walaupun filem animasi Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les’ Copaque Production tidak tersenarai sebagai lima calon akhir kategori filem animasi terbaik Anugerah Akademi atau Oscar, ia sama sekali tidak mematahkan semangat syarikat perfileman tempatan itu, untuk terus menghasilkan karya bermutu tinggi bertaraf global selepas ini.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya sudah menjangkakan keputusan itu, dengan persaingan sengit daripada syarikat filem gergasi Hollywood seperti Disney dan Marvel, dengan keputusan terletak di tangan 300 juri.

Bagaimanapun katanya, kejayaan mencatat sejarah sebagai filem pertama menempatkan diri dalam senarai 32 calon akhir bagi kategori filem animasi, sebenarnya sudah cukup membanggakan syarikat perfileman Malaysia itu.

“Untuk terpilih dicalonkan, adalah satu pencapaian. Nama kami sudah termasukan dalam arkib Oscar,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas pengumuman pencalonan Oscar malam ini, yang turut boleh ditonton menerusi pautan https://oscar.go.com/news/nominations/when-are-oscar-nominations-2020-announced.

Lima filem animasi diumumkan tercalon dalam kategori itu ialah How To Train Your Dragon: The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link dan Toy Story 4.

Sebelum ini, syarikat itu telah menghantar sendiri pencalonan ke anugerah filem paling berprestij di dunia itu ke Los Angeles, Amerika Syarikat, kerana hanya mempunyai waktu singkat iaitu enam hari sebelum tarikh tutup.

Filem yang menelan belanja RM20 juta itu, menampilkan watak kembar kegemaran Malaysia bersama karakter kisah Melayu tradisional, seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam dan Si Tanggang dan mencatat kutipan RM26 juta ketika ditayangkan tahun lepas.

Filem animasi itu juga dipilih sebagai finalis di Palm Springs Animation Festival 2019 California, Amerika Syarikat.

Ia juga dipilih sebagai pemenang di Montreal International Film Festival Animation 2019 (ANIMAZE) dalam kategori Feature Film.

Anugerah Akademi ke-92 akan berlangsung pada 9 Februari di Los Angeles.

-BERNAMA


Pengarang :