Datuk Seri Najib Razak selepas selesai prosiding perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakar Australia periksa dokumen tandatangan Najib 10 Februari

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Seorang pakar dari Australia yang dilantik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menganalisis tandatangan di 13 dokumen SRC International Sdn Bhd yang dipertikaikan, dijangka dibuat pada minggu 10 Februari ini.

Tarikh baharu ditetapkan selepas peguam pembelaan Najib, Harvinderjit Singh memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pakar itu hanya dapat tiba pada minggu berkenaan.

“Saya tidak nampak sebarang kelewatan kepada perbicaraan. Pemeriksaan akan mengambil masa dua hari. Satu laporan dijangka akan disiapkan dalam tempoh seminggu selepas analisis,” kata peguam itu.

Sebelas daripada dokumen itu ditandakan sebagai bukti pihak pendakwaan, manakala dua lagi ditandakan sebagai bukti pihak pembelaan yang akan diserahkan semasa perbicaraan.

Semalam Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Najib untuk memanggil pakarnya sendiri atas alasan pihak tertuduh berhak mendapatkan dan mengetengahkan bukti relevan terhadap pembelaan yang dipilih.

Semasa perbicaraan sebelum ini, Najib membangkitkan persoalan berhubung ketulenan tandatangannya, memandangkan beliau mendakwa tidak pernah ditunjukkan salinan asal dokumen yang dipertikaikan itu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh pemeriksaan sebelum 3 Februari.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh ketua pendakwaan Datuk V. Sithambaram, Najib tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah salah apabila membersihkan nama (Najib) daripada sebarang perbuatan salah berkaitan RM2.6 bilion dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Semasa ditanya Sithambaram sama ada beliau berhasrat memanggil Mohamed Apandi sebagai saksi, Najib berkata perkara itu sedang dipertimbangkan ditimbangkan oleh pihak pembelaan.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan yang berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung 3 Februari dengan Sithambaram meneruskan pemeriksaan balas terhadap Najib.

Sebelum perbicaraan berakhir, Sithambaram mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kerjasama semasa pemeriksaan balas dan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikan sambutan itu.

-BERNAMA


Pengarang :