Frederic Laplanche mengiringi Sultan Perak Sultan Nazrin Shah melihat pameran ‘Jacques de Morgan-Exploring Perak in 1884’ di Alliance Française Kuala Lumpur pada 11 Januari 2020.
AGENDANASIONAL

Pameran ekspedisi ahli arkeologi Perancis jelajah Perak

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Pameran ‘Jacques de Morgan-Exploring Perak in 1884’ yang dirasmikan malam tadi memberi pengetahuan umum kepada orang ramai tentang ekspedisi dan kehidupan ahli arkeologi Perancis Jacques de Morgan yang mengembara ke Perak bagi meninjau tapak perlombongan timah pada tahun 1884.

Duta Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche berkata pameran yang dianjurkan Kedutaan Perancis itu antara lain mempamerkan lukisan dan nota de Morgan yang dilihat masih relevan kepada Malaysia hari ini.

“…kerana ia adalah antara beberapa sumber bertulis yang masih ada hari ini untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah Perak khususnya sejarah populasi Orang Asli,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan pameran itu di Alliance Française Kuala Lumpur (AFKL) di sini malam tadi.

Turut hadir Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden AFKL, penganjur bersama pameran itu.

Menurut Laplanche, kedutaan itu berhasrat membawa pameran itu ke Perak, kerana beliau yakin rakyat negeri itu akan tertarik dengan lakaran tentang masyarakat dan landskap Perak pada kurun ke-19 yang dilukis oleh de Morgan.

“Pameran ini sebenarnya menceritakan tentang rakyat Perak. Impian saya ialah suatu hari nanti kami (Kedutaan Perancis) akan mempunyai ‘Jacques de Morgan Heritage Trail in Perak’.

“Banyak lagi perkara berkaitan Perancis di Perak… lebih 15 sekolah terkenal di Perak diasaskan oleh Mubaligh Katolik Perancis, sebagai contoh Sekolah Convent, Sekolah La Salle di Ipoh, Taiping, Batu Gajah dan Teluk Intan,” katanya.

Pameran itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk percuma hingga 11 Mac.

– BERNAMA


Pengarang :