EXCOSELANGOR

Pangsapuri Residensi Jaya tukar pemaju, atasi masalah berbangkit

SHAH ALAM, 25 JAN: Projek Rumah Selangorku Pangsapuri Residensi Jaya diambil alih Grant Thorton Consulting Sdn Bhd (Grant Thorton Consulting) berikutan pengisytiharan muflis terhadap pemaju Jitu Enigma Sdn Bhd (Jitu Enigma), kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersama syarikat berkaitan sebagai jalan penyelesaian terhadap projek perumahan di Cheras itu termasuk masalah dihadapi pembeli.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap isu ini dan yang menjadi keutamaan kita untuk kembalikan wang deposit pembeli namun prosesnya mengambil masa agak lama.

“Grant Thorton Consulting Sdn Bhd akan membuat penilaian aset pemaju dan kemudian menawarkan harga bersesuaian kepada pembeli sebelum proses serahan deposit dikembalikan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membantu pembeli dalam isu pengecualian pembayaran ansuran pinjaman kepada pihak bank.

Katanya, Grant Thorton Consulting akan mengadakan perjumpaan pada 15 Februari ini dan Kerajaan Negeri optimis LPHS, KPKT, pembeli dan pihak bank dapat turut serta supaya perbincangan serentak dapat dilakukan.

“Kita sentiasa mengenakan syarat ketat kepada pemaju yang mahu membangunkan Rumah Selangorku dan Jitu Enigma mempunyai rekod serta nilai aset baik ketika kelulusan diberi.

“Ini bukan kali pertama Kerajaan Negeri melakukan pembatalan sebaliknya sudah sembilan pemaju kerana mereka tidak memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, portal berita melaporkan 221 pembeli pangsapuri tersebut berisiko kehilangan 10 peratus deposit atau lebih RM25,000 yang diambil pemaju dan anggaran kerugian mereka mencecah lebih RM4.5 juta.


Pengarang :