AGENSISELANGOR

Park Here tawar promosi ‘Member-Get-Member’

SHAH ALAM, 5 JAN: Perunding tempat letak kenderaan, Park Here Sdn Bhd (PHSB) menawarkan promosi ‘Member-Get-Member’ sebagai pendekatan meningkatkan keanggotaan dalam perkhidmatan Detailing Garage.

Ketua Pengurusan PHSB, Mohd Ardisham Mohamad Shahir berkata, pelbagai aktiviti dan tawaran istimewa menanti pelanggan sekiranya dapat menarik lebih ramai ahli dalam tempoh ditetapkan.

“Kita memberi dua pilihan kepada ahli yang mendaftar iaitu seorang ahli membawa 10 ahli baharu dan mereka dibekalkan dengan dua jenis baucar sebanyak 10 keping setiap satu.

“Baucar ‘water coating’ sebanyak RM30 (10 keping) dan baucar hadiah RM10 untuk servis bernilai RM50 ke atas (10 keping) bagi ahli yang dapat membawa 20 pelanggan dengan semua baucar ini.

“Ahli yang memenuhi syarat layak mendapat keahlian percuma untuk tahun hadapan, perkhidmatan salutan cermin (windscreen) dan salutan air (watercoating) bernilai RM145, diskaun 10 peratus untuk apa-apa perkhidmatan (tidak termasuk promosi servis), pelekat kenderaan serta hadiah percuma,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Park Here Detailing Garage di Atria Warisan, Kompleks PKNS Shah Alam di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani; Pengurus PHSB, Marizana Mustafa dan Ketua Pembangunan Perniagaan PHSB, Norasidi Mhd Rashid.

Difahamkan, setakat ini terdapat seramai 54 ahli berdaftar di bawah perkhidmatan Park Here Detailing Garage sejak ia memulakan operasi pada Mei tahun lalu.

Pada masa sama, Mohd Ardisham berkata, perkhidmatan perincian auto itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh seramai 10 pekerja bumiputera yang terlatih dan mahir dalam selok-belok automobil.

Katanya, kakitangan di bawah pengurusan mereka sudah diberi pendedahan meluas berkaitan perkhidmatan itu menerusi latihan bersama pakar dandanan kereta, GM Tech Auto Care.

“Selain itu, kita bukan sahaja memberi khidmat cuci kenderaan, sebaliknya perincian (kenderaan) dengan membersihkan di seluruh ruang dalam kereta termasuk tempat yang sukar untuk dibersihkan.

“Hasilnya, kita mendapat maklum balas positif daripada pelanggan, malahan kebanyakan mereka datang berulang kali kerana berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.

“Paling penting produk digunakan GM Tech untuk perkhidmatan ini diiktiraf di dalam negara dan antarabangsa kerana memperoleh status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.


Pengarang :