Ketua jurulatih pasukan bola sepak Selangor, B Sathianathan. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pasukan bermain baik walaupun gagal juarai SAC 2020 – Sathianathan

SHAH ALAM, 20 JAN: Ketua jurulatih pasukan bola sepak Selangor, B. Sathianathan berpuas hati dengan prestasi barisan pemain muda skuad itu yang menunjukkan persembahan baik pada Kejohanan Cabaran Asia (SAC) 2020 walaupun gagal dinobatkan sebagai juara.

Sathianathan turut memuji prestasi dan corak permainan juara kejohanan itu, True Bangkok United FC yang disifatkannya mempunyai banyak pemain berkualiti.

“(Bagaimanapun) Saya berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan pemain Selangor. Bukan suatu yang mudah untuk bermain dalam hujan tetapi mereka berjaya mengheret perlawanan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

“Apa yang saya boleh katakan, walaupun pemain muda kurang berpengalaman tetapi mereka bermain dengan begitu baik sehingga ke sepakan penalti. Ini membuktikan kerja keras mereka (dalam saingan SAC),” katanya selepas tamat perlawanan berkenaan di sini malam tadi.

Pasukan True Bangkok United FC dinobatkan juara edisi pertama SAC apabila menewaskan Selangor 4-2 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir kejohanan itu di Stadium Shah Alam.

Kejohanan selama dua hari bermula Sabtu itu melibatkan saingan antara empat pasukan iaitu Selangor, True Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Sementara itu, ketua jurulatih True Bangkok United FC, Alexander Poelking berkata perlawanan bertemu pasukan negara luar adalah penting untuk meneliti mutu persembahan anak buahnya.

“Bukan mudah untuk bermain dua hari berturut-turut dengan keadaan hujan dan padang licin tetapi kami berjaya menguruskannya dengan baik. Kedua-dua pasukan menunjukkan persembahan yang berkualiti,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :