AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PDRM: Operasi Libero Purus kesan penjawat awam terlibat dadah

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan ‘Operasi Libero Purus’ bagi mengesan penjawat awam disyaki terbabit dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata surat rasmi pemakluman operasi sudah diberikan kepada ketua jabatan setiap agensi kerajaan.

“Ketua jabatan dikehendaki memberikan senarai nama kakitangan dipercayai terlibat dengan kegiatan dadah dan sebaik diperoleh, polis akan menjalankan ujian saringan air kencing bagi mengetahui sama ada mereka positif atau sebaliknya sebelum tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 PDRM di Bukit Aman, di sini semalam.

Operasi itu, katanya akan dilakukan berterusan untuk memastikan penjawat awam bebas masalah dadah.

Sementara itu, polis berjaya mengesan taktik baharu pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran barangan.

Bagaimanapun, Mohd Khalil tidak memberikan butiran lanjut kerana masih dalam siasatan.

“PDRM akan mengadakan perjumpaan bersama 116 syarikat penghantaran dalam negara pada 16 Januari ini untuk mengetahui prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan mereka khususnya menangani penghantaran dadah melalui perkhidmatan kurier.

Polis akan bekerjasama dengan syarikat penghantaran ini dan secara langsung menyediakan tempat rujukan sekiranya perkara itu terjadi dalam syarikat mereka, katanya.

Dalam pada itu, katanya pada tahun lalu, polis merampas 20 tan dadah dianggarkan bernilai RM2.7 billion berbanding 8.9 tan dadah bernilai RM394.23 juta pada 2018.

“Seramai 164,914 individu ditahan atas kesalahan sama ada mengedar, memiliki dan positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing termasuk sembilan ketua sindiket pengedaran dadah sepanjang tahun lalu. Polis turut membongkar 23 makmal dadah di seluruh negara dalam tempoh sama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :