PENDAPATRENCANA

Pedofilia, ‘raksasa bagi kanak-kanak’ perosak masyarakat

OLEH AHMAD MUlIADY ABDUL MAJID

KANGAR, 9 JAN: Tidak mustahil penyakit psikologi atau sakit mental berupaya menjadi penyakit utama di negara ini selepas sakit jantung, kencing manis, strok, kanser dan tekanan darah tinggi.

Pedofilia antara penyakit mental yang boleh menjadi barah dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung dari awal.

Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Universiti Malaysia Perlis Profesor Madya Dr. Huzili Hussin berkata pedofilia adalah kecelaruan seksual yang menyebabkan pesakitnya mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak.

Profesor Madya Dr. Huzili Hussin, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Universiti Malaysia Perlis.

Katanya pelaku pedofilia cenderung menjadikan kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah sebagai mangsa dan pelaku pedofilia pula mengikut analisis pakar psikologi dunia, lebih tua daripada mangsanya yang biasanya dalam lingkungan usia lima hingga 16 tahun.

Sesetengah mereka pula menjadikan gambar kanak-kanak sebagai objek untuk memuaskan nafsu liar mereka secara fantasi.

Beliau yang juga pakar motivasi dan psikologi berkata individu berpotensi menghidap pedofilia biasanya menghadapi masalah seperti kecelaruan mental, kemurungan dan penagih dadah.

Justeru, semua pihak perlu berganding bahu membendung kelahiran lebih ramai pesakit pedofilia atau ‘raksasa bagi kanak-kanak’ yang boleh merosakkan sistem masyarakat.

Profesor Madya Dr. Huzili Hussin, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Universiti Malaysia Perlis.

Kajian yang dilakukan di negara barat seperti Amerika Syarikat (AS) mendapati kebanyakan mangsa kes pedofilia melibatkan keluarga sendiri, rakan baik keluarga mangsa dan orang di sekeliling mangsa.

Katanya mengikut kajian pakar psikologi di AS, dalam kalangan populasi kaum lelaki terdapat antara tiga hingga lima peratus yang berpotensi mempunyai pengaruh pedofilia manakala bagi wanita, kurang daripada tiga peratus.

“Bayangkan daripada 100 lelaki, terdapat tiga hingga lima orang yang mempunyai kecederungan terhadap seks songsang ini, ia satu angka yang besar dan membimbangkan kita semua,” katanya baru-baru ini.

Dalam senario di Malaysia, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata belum ada data lengkap mengenai kes jenayah pedofilia, namun jenayah penderaan seks terhadap kanak-kanak sentiasa berlaku dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad

Kes pedofilia paling buruk pernah berlaku di negara ini ialah kes melibatkan jurugambar sambilan warga British Richard Huckle, 30, menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran serangan seksual ketika bekerja di Malaysia.

Pada Jun 2016, media melaporkan warga Britain itu dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan dan polis menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Pada Mei 2019, kes jenayah pedofilia berlaku di Perlis dan polis berjaya memberkas pesalah dan mahkamah telah menjatuhi hukuman penjara selama 228 tahun dan 42 sebatan terhadap pelaku jenayah pedoflia, Nawawi Anuar, 28, seorang warden asrama sebuah pusat tahfiz.

Tertuduh melakukan jenayah seksual melibatkan lima pelajar lelaki masing-masing berusia sembilan, 10, 11 dan 15 tahun sepanjang April 2019.

“Suspek melakukan sebanyak 33 kesalahan dan mengaku salah terhadap 27 pertuduhan dan enam pertuduhan lagi masih dalam perbicaraan mahkamah,” kata Surina.

Surina berkata penjenayah pedofilia atau individu yang mengalami masalah psikologi ini lazimnya sukar dikenal pasti memandangkan mereka kelihatan normal seperti orang lain tetapi mempunyai tabiat tidak suka bercampur dan suka menyendiri.

Akta kesalahan seksual kanak-kanak 2017

Di Perlis, aduan mengenai jenayah membabitkan kes pedofilia yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat sebanyak 38 peratus berbanding tahun lepas ekoran peningkatan kesedaran orang ramai.

“Peningkatan kes jenayah ini di Perlis mungkin disebabkan oleh masyarakat mula sedar dan tahu mengenai kesalahan pedofilia kerana wujudnya Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” kata Ketua Polis Perlis itu.

Kewujudan akta tersebut telah banyak membantu pihak polis untuk mengheret lebih ramai pelaku jenayah seksual kanak-kanak ke muka pengadilan, katanya.

Menurut Surina, akta tersebut juga memudahkan proses pendakwaan di mahkamah apabila pengadu hanya perlu mendapat pengakuan mangsa, keterangan saksi dan sokongan video.

“Di samping itu, keterangan atau kejadian boleh diceritakan dengan lindungi tabir atau mengunakan rakaman video kerana kebanyakan mangsa mengalami trauma dan tidak boleh bercakap,” katanya.

Beliau berkata sejak akta tersebut ditambah baik, orang ramai tidak lagi malu atau mendiamkan diri atau terus membiarkan pelaku jenayah pedofilia memuaskan nafsu mereka terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai bahawa pelaku jenayah pedofilia tidak akan berhenti mengulangi jenayah seksual terhadap mangsa sehingga mereka ditangkap.

Jenayah berlaku di mana-mana sahaja

Penganalis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata masyarakat tidak seharusnya berasa simpati terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak dengan alasan pelaku pernah menjadi mangsa ‘raksasa kepada kanak-kanak” ketika kecil sebagai tiket untuk melakukan jenayah.

Kamal Affandi yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata bagi aspek unjuran lokasi kesalahan jenayah seksual pula, beliau berkata adalah tidak wajar melabelkan sesuatu tempat itu negatif kerana jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja.

“Secara teori, sesuatu kes jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira tempat atau masa apabila tiga perkara iaitu pelaku, mangsa dan peluang bertemu pada satu titik yang membolehkan jenayah terjadi,” katanya,

“Jenayah ini boleh berlaku sama ada di tempat yang diiktiraf paling selamat di dunia iaitu di Iceland, New Zealand, atau Malaysia yang pernah menduduki tangga ke-16 dalam Indeks Keamanan Global (2018),” katanya.

Elak jadi mangsa pedofilia

Sejak kebelakangan ini, ramai ibu bapa menjadikan media sosial seperti Facebook sebagai album dengan memuat naik gambar anak sedang mandi, bermain dan sebagainya.

Tabiat ini, perlu dihentikan kerana ia boleh mengundang risiko gambar anak mereka dijadikan sebagai tempat melepaskan nafsu penjenayah pedofilia.

Sebagai langkah pencegahan, ibu bapa boleh menerangkan kepada anak mereka tentang teknik menjerit, lari dan beritahu (yell, run & tell – YRT) sebagaimana dipraktikan di negara barat untuk mengelak kanak-kanak menjadi mangsa jenayah.

“Kaedah YRT adalah mengajar anak segera menjerit apabila didatangi individu yang ingin mengambil kesempatan dan kemudian lari ke tempat yang selamat seperti lari ke arah ibu bapa dan kemudiannya menceritakan apa yang berlaku,” kata Huzili.

Beliau berkata selain langkah pemantuan dan pencegahan, usaha memulih dan khidmat sokongan juga perlu dilakukan terhadap pelaku dan mangsa agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

“Meskipun kita mempunyai undang-undang (Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017) bagi menghukum pesalah jenayah ini namun, masih belum ada program khusus dan berpanjangan bagi memulihkan pesalah dan mangsa kerana ia melibatkan kos dan jangka masa yang panjang,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu modul lengkap diwujudkan bagi menangani masalah jenayah terhadap kanak-kanak ini dan satu rangka khusus disediakan bagi usaha pemantauan, pencegahan, pemulihan dan sokongan kepada pelaku.

Antara langkah pemantauan ialah mengenal pasti individu yang berpotensi menghadapi masalah pedofilia sepertimana dilakukan negara barat dengan mengesan pengguna media sosial yang cenderung berkongsi gambar kanak-kanak tidak memakai baju dan sebagainya.

Sementara itu, Kamal Afandi berkata usaha membendung jenayah pedofilia bukan hanya menghukum pelaku sebaliknya ia perlu dilakukan secara holistik dengan mengambil kira faktor penyebab berlakunya jenayah tersebut.

Selain itu, katanya usaha melindungi, memberi sokongan serta memulihkan mangsa perlu dilakukan kerana sehingga kini tiada usaha bagi menjaga kebajikan mangsa dalam tempoh masa panjang.

Sementara itu, di pihak polis, Surina berkata menerusi Jabatan Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) polis mempunyai pakar psikologi yang akan memberi kaunseling kepada mangsa untuk menceritakan kejadian yang menimpanya.

Katanya, antara usaha yang dilakukan D11 bagi mencegah jenayah ini adalah memberi ceramah kepada orang ramai khususnya ibu bapa agar mereka berilmu dan mendapat pengetahuan tentang jenayah ini.

Beliau seterusnya berharap agar masyarakat memahami jenayah pedofilia agar mereka tidak terlibat menyembunyikan jenayah berkenaan, kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :