Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi merasmikan Majlis Pengisytiharan dan penyampaian Sijil Peguam Syarie di Dewan Muktamar, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) pada 28 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peguam syarie digalak sedia bantuan guaman percuma

SHAH ALAM, 29 JAN: Peguam syarie digalak membantu golongan kurang berkemampuan dengan mewujudkan sistem bantuan guaman pro bono atau percuma supaya keadilan dapat diberikan kepada mereka.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata kumpulan berkenaan biasanya tidak celik undang-undang dan tidak berkemampuan daripada sudut kewangan.

“Apabila perlu memfailkan kes di mahkamah syariah, mereka sering tersalah prosedur sehingga menyebabkan kes dibuang atau gagal untuk meyakinkan serta membuktikan tuntutan masing-masing.

“Oleh demikian, sampai masanya peguam syarie tampil membantu golongan sebegini. Dalam mencari rezeki melalui bidang guaman, saya berharap ada konsep sedekah dengan membantu golongan kurang mampu mendapatkan keadilan di mahkamah,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Peguam Syarie Selangor di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah di sini, semalam.


Pengarang :