Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

PeKa B40, klinik maya cara baharu jaga kesihatan

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan sejak April tahun lepas, merupakan antara inisiatif penting yang menjadi ‘game changer’ dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata iniasitif tersebut memberi fokus kepada pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Kami mewujudkannya dengan mengkaji cabaran-cabaran kepada keadaan kesihatan semasa (dalam masyarakat) … PeKa B40 benar-benar mengubah tanggungjawab dalam perspektif kesihatan kerana ia memberi tumpuan kepada langkah pencegahan, ramalan, pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama.

Skim tersebut menawarkan manfaat seperti saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berusia 40 tahun dan ke atas.

Saringan kesihatan adalah secara percuma di klinik kesihatan serta swasta yang berdaftar. Sehingga 21 Disember 2019, seramai 220,314 orang di seluruh negara telah melalui saringan kesihatan melalui skim itu.

Katanya, PeKa B40 juga berjaya memperkukuhkan kerjasama antara pusat kesihatan kerajaan dengan klinik swasta apabila sebahagian besar daripada pelaksana skim itu terdiri dalam pengamal am (GP) swasta.

“PeKa B40 mempunyai GP swasta sebanyak 1,618 dan Klinik Kesihatan (KK) sebanyak 893 GP…dua pertiga dikendalikan oleh GP swasta dan satu pertiga oleh KK…jumlah semua sekali 2,511. Itu adalah antara contoh, bagaimana manifesto yang menyebutkan tentang (memperkukuhkan) kolaborasi swasta-awam yang saya terus laksanakan,” katanya.

Beliau berkata pencapaian Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tahun lalu boleh dilihat menerusi beberapa inisiatif termasuk PeKa B40 yang telah dilaksanakan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menunaikan janji Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Manifesto PAKATAN di bawah Janji Sembilan antaranya menyebut kerajaan akan meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada semua masyarakat, terutamanya golongan kurang berkemampuan atau B40.

Dzulkefly berkata pencapaian lain sepanjang tahun lepas adalah pelaksanaan projek rintis klinik maya di lima buah Klinik Kesihatan bermula Mei lalu.

“Perkhidmatan klinik maya yang terlibat adalah KK Seksyen 7, Shah Alam, Selangor; KK Seberang Jaya, Pulau Pinang; KK Putrajaya Presint 8; KK Luyang, Sabah; dan KK Tudan Miri, Sarawak…dan kita akan memperluaskannya ke seluruh negara,” katanya.

Sistem perkhidmatan itu dilancarkan seiring mendepani era digital dan ia merupakan inisiatif KKM untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kesihatan pesakit luar. Klinik maya memberi pilihan kepada pesakit untuk mendapatkan penjagaan kesihatan secara dalam talian dan tidak perlu bersemuka dengan doktor atau pegawai perubatan bagi peringkat awal.

Menurutnya kejayaan KKM juga terbukti apabila kementeriannya menerima peruntukan RM60 juta untuk melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal secara percuma kepada semua kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Kebangsaan mulai 2020.

“Maka, kita akan mengatur strategi bagaimana hendak menggunakan peruntukan itu sebaiknya agar semua kanak-kanak menerima manfaat menerusi program ini,” tambahnya.

Mengenai Manifesto PAKATAN untuk menangani masalah kos penjagaan kesihatan yang mahal, beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pemain industri sebelum merumuskan idea bagi mekanisme pelaksanaan penyelarasan kawalan harga ubat-ubatan di seluruh Malaysia.

“Saya sedar tentang kos ubat terutamanya di sektor swasta…sebab itulah kita beri perhatian khusus dalam mengekalkan kos penjagaan kesihatan dan kita saling bekerjasama dalam mengawal harga ubat. Perkara ini masih dalam perbincangan dan pertemuan dengan pengamal perubatan, ahli farmasi dan sebagainya… Ini semua dalam rangka untuk memastikan kos penjagaan kesihatan kita diurus dengan baik,” katanya.

November lepas, Dzulkefly dilaporkan berkata satu kertas kerja berkenaan kawalan harga ubat-ubatan sedang dijalankan dan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani masalah itu.

– BERNAMA


Pengarang :