Selangor akan memasang 1,553 struktur rangkaian 5G bagi fasa dua di lima daerah pada tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs). Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pelaksanaan 5G: SKMM kenal pasti spektrum perintis

PUTRAJAYA, 1 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti jalur spektrum 700MHz, 3.5GHz dan 26/28 Ghz sebagai spektrum perintis bagi pelaksanaan 5G di Malaysia, berikutan perkembangan ekosistem dan pelaksanaan 5G yang pesat di seluruh negara.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, mereka sedang mempertimbangkan pendekatan di mana peruntukan jalur-jalur spektrum 700 MHz dan 3.5Ghz dibuat kepada satu konsortium yang terdiri daripada beberapa pemegang lesen dan bukannya kepada pemegang lesen individu tertentu.

“Bagi tujuan ini, SKMM akan melaksanakan proses tender. Pendekatan ini adalah untuk mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelakkan pertindihan infrastruktur, sementara penambahbaikan rangkaian 4G masih berjalan,” tambah kenyataan tersebut.

MCMC menyatakan, memandangkan ini adalah pendekatan baharu, SKMM hanya akan memperuntukkan 2×30 MHz bagi jalur spektrum 700 MHz dan 100 MHz bagi jalur spektrum 3.5 GHz. Frekuensi selebih akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya.

Penguntukan bagi jalur spektrum 26/28 GHz akan dilakukan melalui dua kaedah. Frekuensi 24.9 GHz hingga 26.5 GHz akan diperuntukkan melalui proses tender kepada pemegang lesen untuk penggunaan seluruh negara.

Manakala, frekuensi 26.5 GHz hingga 28.1 GHz akan diperuntukkan secara ‘first-come first-served’ dan dibuka kepada mana-mana pihak (termasuk bukan pemegang lesen) bertujuan untuk penggunaan kawasan setempat dan/atau rangkaian persendirian, menurut kenyataan itu.

“Penguntukan bagi jalur-jalur spektrum yang disebut di atas adalah dibuat melalui penguntukan radas (Apparatus Assignment) atau AA. SKMM menganggap fi spektrum melalui AA adalah lebih menjimatkan dan akan menggalakan pelaksanaan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan.

Dengan penjimatan ini, perniagaan dan pengguna akan mendapat manfaat dan menikmati perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

Kenyataan itu menyatakan, SKMM menjangkakan pengkomersialan 5G di Malaysia akan bermula pada suku ketiga 2020, apabila selesainya proses penguntukan tersebut.

“Ini adalah selari dengan perbincangan oleh Petugas Khas 5G Negara yang telah ditubuhkan sejak November 2018 dan dianggotai sebanyak 114 organisasi daripada sektor swasta, kementerian dan agensi mewakili bahagian bekalan dan permintaan dalam ekosistem tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :