AGENDANASIONAL

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan diaktif

PUTRAJAYA, 9 JAN: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) telah diaktifkan pada 7 Januari lepas bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan untuk menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam satu kenyataan hari ini berkata turut diaktifkan ialah Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan agensi negeri terbabit pada 6 Januari.

Menurut MESTECC, dalam tempoh penghujung Monsun Timur Laut, taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara dan kejadian pembakaran terbuka dikhuatiri akan berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar sehingga berpotensi menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Di bawah PTPTK, katanya JAS dan agensi penguatkuasaan lain meningkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko terbakar dan kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

Turut giat dilaksanakan ialah memantau status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan memantau status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, katanya.

MESTECC berkata penguatkuasaan seperti tindakan mahkamah dan kompaun di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS dan semua agensi yang telah diwakilkan kuasa turut dipertingkatkan.

Di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

MESTECC menggesa pemilik tanah untuk memantau tanah masing-masing secara rapi terutama yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, kawasan pertanian, ladang, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah termasuk yang beroperasi secara haram, hutan, belukar dan kawasan perindustrian.

“Pemilik tanah juga dikehendaki mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes seperti itu kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau https://eaduan.doe.gov.my serta Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999.

Orang ramai juga boleh menyemak bacaan IPU dan maklumat terkini status kualiti udara melalui laman portal JAS di www.doe.gov.my dan melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’.

– BERNAMA


Pengarang :