Salah seorang pengunjung merakamkan pemandangan kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pelihara Sungai Selangor, elak kelip-kelip ‘merajuk’

SHAH ALAM, 6 JAN: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli kesal susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam Sungai Selangor.

Katanya kerja pembersihan sungai giat dilakukan sejak tahun lalu bagi memelihara habitat kelip-kelip yang menjadi tarikan pelancong ke Kuala Selangor.

“Amat malang apabila Sungai Selangor yang istimewa dan unik dengan habitat kelip-kelip dicemari sampah yang dibawa oleh manusia.

“Aktiviti tidak bermoral ini berkemungkinan menyebabkan kelip-kelip merajuk, namun kita cuba atasi dengan penanaman pokok berembang yang menjadi tarikan habitat itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berhubung isu pencemaran di Sungai Selangor yang dijadikan ‘tong sampah’ dan pembuangan sisa toksik sejak sekian lama.

Lembangan sepanjang 110 kilometer dari hulu Bukit Fraser melalui daerah Kuala Kubu Baru ke Bestari Jaya mengalir ke hilir melalui Kampung Kuantan, yang juga destinasi ekopelancongan kelip-kelip.

Juwairiya berkata pejabat daerah dan tanah juga mengambil tindakan lanjut susulan aktiviti pengorekan pasir di kawasan berhampiran bagi mengelakkan isu pencemaran bertambah parah.


Pengarang :