Selangorkini
Pemain badminton Jepun, Kento Momota bergambar selepas menewaskan bekas juara dunia Denmark, Viktor Axelsen bagi menjuarai Kejohanan Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 12 Januari 2020. Foto AFP
AGENDA SUKANKINI

Pemain badminton nombor satu dunia pulang ke Jepun

SEPANG, 15 JAN: Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota dan dua pegawai sukan Jepun yang cedera dalam kemalangan awal pagi Isnin di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini untuk pulang ke Jepun.

Momota dan dua pegawai sukan tiba di KLIA jam 8.10 pagi menaiki tiga kenderaan dan disambut oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Mereka yang memakai topeng muka kemudiannya dibawa menaiki “buggy” di balai pelepasan KLIA serta dikawal ketat.

Mereka kemudian dibawa ke bilik VVIP KLIA sebelum berlepas menaiki penerbangan ke Jepun yang dijadualkan pada jam 9.40 pagi.

Momota dan dua pegawai berkenaan keluar dari Hospital Putrajaya malam tadi dan menginap transit di sebuah hotel berhampiran KLIA sebelum berlepas ke Jepun.

Dalam kejadian 4.40 pagi Isnin lalu, van yang membawa Momota dan tiga lagi dalam perjalanan KLIA terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori, menyebabkan pemandu van B. Nageswarau, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, turut cedera ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35; pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42; dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye.

Momota menjuarai kejohanan Masters Malaysia dengan menumpaskan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen di peringkat akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Ahad.

– BERNAMA


Pengarang :