Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dicalon sebagai perdana menteri kelapan oleh Bersatu, BN dan Pas. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemegang Pas Sementara Sabah tidak layak mohon warganegara

PAPAR, 11 JAN: Pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) masih dikategorikan sebagai warga asing tanpa dokumen perjalanan dan tidak layak memohon permit masuk, taraf pemastautin tetap dan kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pengeluaran PSS bagi menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen kepada warga asing yang ada di Sabah, sekali gus memudahkan operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, PSS sebagai mekanisme kawalan keberadaan dan pergerakan warga asing di Sabah dan dibenarkan untuk tinggal sementara di Sabah tertakluk kepada syarat pas yang ditetapkan.

“Golongan yang akan diberikan PSS terdiri daripada pemegang IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Kad Burung-Burung yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Sijil Banci yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara berserta tanggungannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Papar, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Pada September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Isu pelaksanaan PSS sering dimainkan di media sosial oleh pihak tertentu yang menyelewengkan fakta sehingga berlaku kekeliruan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PSS dikeluarkan dalam bentuk kad bercirikan keselamatan dengan maklumat peribadi pemegang termasuk tempoh sah laku dokumen berkenaan.

Beliau berkata tempoh sah PSS adalah tiga tahun bagi setiap pengeluaran dan perlu diperbaharui semula dan bayaran bagi setiap pengeluaran PSS adalah sebanyak RM120.

“Kuasa pengeluaran PSS adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan ia hanya sah digunakan di Sabah serta tidak boleh digunakan di tempat lain seperi Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Muhyiddin, berkata, tujuan pengeluaran PSS juga adalah bagi pemegang tiga kad berkenaan (IMM13, Kad Burung-Burung, Sijil Banci) untuk bekerja, melakukan urusan bank, mendapatkan pendidikan serta rawatan kesihatan dan berkahwin.

Beliau menjelaskan cadangan pengeluaran pas untuk menggantikan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci telah dilakukan ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

“Kita lihat ada rekod dalam kementerian cadangan untuk melaksana Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Bilangan II 2015 iaitu sebelum kerajaan baharu memerintah.

“Pada 31 julai 2015, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah melalui keputusan dalam mesyuarat itu memutuskan bahawa PRSS akan diberikan kepada pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah.

“Cadangan dasar PRSS ini juga dibentangkan ke mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada 16 Mei 2016 dan mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, bersama Ketua Menteri Sabah, pada ketika itu. Namun PRSS berkenaan tidak dapat dilaksana apabila BN kalah dalam pilihan raya lepas, ” katanya.

Muhyiddin berkata selaras peralihan kerajaan diterajui Pakatan Harapan, PRSS itu diteliti semula dan dibentangkan di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Kita setuju meneliti cadangan itu secara mendalam dengan penambahbaikan dan dibentangkan dalam Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing pada 6 September 2019 dan mesyuarat bersetuju melaksanakan PRSS dengan menggantikan nama sebagai PSS.

“Saya jelaskan bahawa idea untuk meneliti dan hendak menyelaraskan penggunaan kad yang berbeza ini tercetus sebelum kerajaan sekarang. Namun, tidak apa kerana kerajaan baharu juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan Sabah dan perlu ada satu sistem lebih kemas,” jelasnya.

Beliau berkata mengikut rekod, pemegang IMM13 di Sabah adalah seramai 51,646 orang, Kad Burung-Burung (36,892) dan 36,892 pemegang Sijil Banci.

“Ia bereti sebanyak 136,055 orang yang layak diberikan PSS di Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan memberi PSS dan tidak memilih untuk menghantar pulang warga asing itu ke negara asal, Muhyiddin berkata proses itu memerlukan kerjasama erat secara diplomatik bersama negara terlibat serta gerak kerja yang perlu diperincikan lebih teliti dan berhati-hati.

Beliau berkata pemberian PSS adalah keputusan jangka pendek bagi membolehkan kerajaan mempunyai data serta rekod keberadaan kumpulan warga asing tersebut yang telah berada sekian lama di Sabah.

“Sehubungan itu, dengan adanya rekod terkini dan teratur, sebarang tindakan jangka panjang boleh dilaksana secara lebih strategik,” katanya, sambil menjelaskan pelaksanaan PSS itu bukanlah isu politik, sebaliknya melibatkan isu keselamatan bagi rakyat Sabah.

-BERNAMA


Pengarang :