Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemilik suara dalam rakaman diketahui minggu ini – KPN

IPOH, 21 JAN: Pemilik suara rakaman audio yang didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, dijangka diketahui minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia akan memanggil individu berkenaan untuk memberi kenyataan sebaik sahaja nama mereka diketahui.

“Mereka yang didakwa suara di dalam rakaman audio itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan, “katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (tengah) ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada 8 Januari lepas, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya.

Pada 14 Januari lepas, SPRM membuat satu laporan polis terhadap beberapa individu termasuk seorang peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu Latheefa.

Menurut Latheefa laporan polis itu dibuat bagi memberi satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

-BERNAMA


Pengarang :