Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador
AGENDANASIONAL

Pemimpin, ahli politik jangan sentuh isu sensitiviti kaum – KPN

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Pemimpin dan ahli politik di negara ini diingatkan agar tidak memainkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama sehingga boleh menggugat perpaduan dan mengancam keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata sebagai pihak berkuasa terulung negara ini, adalah menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjamin negara dalam keadaan selamat serta mengekang daripada sebarang ancaman berkaitan keganasan, fitnah, perkauman dan keagamaan.

“Saya merayu kepada semua pemimpin dan ahli politik agar lebih memahami dinamik negara ini dengan kepelbagaian kaum dan agama, mesti hormat menghormati dan gunakanlah kepelbagaian yang ada untuk memajukan negara.

“Diharapkan ahli politik menggunakan kebijaksanaan, kesabaran dan berhemah dengan memenuhi prinsip demokrasi tanpa melakukan aktiviti hingga menyakiti hati orang lain dan seolah mencabar pihak berkuasa,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian tahun 2019 dan perancangan tahun 2020 PDRM di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, PDRM akan ambil pendekatan bertindak seadilnya demi menjaga keamanan, keharmonian serta keselamatan negara.

Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengambil pendekatan tegas dan seadil-adilnya demi menjaga keamanan dan keharmonian serta keselamatan negara ini.

Beliau berkata isu berkenaan adalah membeban dan merugikan negara kerana warga PDRM terpaksa bekerja lebih masa sehingga mengorbankan banyak masa dalam menyelesaikan isu seumpama.

“Sepatutnya segala kekuatan PDRM digunakan sepenuhnya untuk menangani jenayah, dadah dan bukannya isu remeh seumpama,” katanya.

Abdul Hamid turut menetapkan sasaran bagi tahun 2020 untuk memastikan PDRM kembali disegani seperti yang berlaku pada zaman Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, dengan rakyat bersandarkan harapan kepada pihaknya serta Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam perkembangan lain, bagi pencapaian PDRM tahun lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata JSJK merekodkan 26,466 aduan melibatkan pelbagai kes sindiket penipuan.

Beliau berkata, kesemua kes berkenaan melibatkan jumlah kerugian RM6.2 billion.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya telah merampas 20 tan dadah pepejal dan 9,047 liter dadah cecair melibatkan nilai RM2.7 billion.

-BERNAMA


Pengarang :