Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin menjawab pertanyaan media selepas lawatan beliau ke kilang memproses skrap plastik yang telah diberikan notis pembatalan lesen perniagaan di Kampung Perepat, Klang pada 15 Januari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pencemaran bau, kilang plastik henti operasi

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenal pasti pencemaran bau di sekitar Taman Perepat Timur, Kapar di sini berpunca daripada sebuah kilang memproses plastik, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata hasil pemeriksaan dijalankan di premis berkaitan mendapati penapis scrubber dari mesin memproses plastik rosak dan kilang terbabit dihentikan operasi serta merta.

“Kita menerima aduan dari penduduk berkaitan bau yang kurang enak. Oleh itu, MPK bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan dan mengenal pasti perkara itu.

“JAS menyarankan pengusaha kilang supaya membuat penyelenggaraan setiap 17 hari bagi memastikan insiden kerosakan tidak berulang,” katanya ketika ditemui di kilang berkenaan di sini semalam.

Elya berkata MPK akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak sama sekali bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata, terdapat lebih 500 kilang haram di Telok Gong dan setakat ini MPK menutup 70 kilang sama di bawah pentadbirannya sejak November tahun lalu hingga 15 Januari lepas selain bancian berterusan dilakukan berhubung perkara itu.


Pengarang :