Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menyampaikan sembah ucapan kepada Raja Muda Selangor yang berangkat hadir ke Majlis Perasmian Penutup Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pendidikan berteras al-Quran bentuk generasi berakhlak

SHAH ALAM, 18 JAN: Pendidikan berteraskan al-Quran terbukti membentuk generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab, kata Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata dengan menjadikan al-Quran sebagai `santapan’ harian, ia mampu membangunkan minda positif sekali gus melahirkan sahsiah umat Islam terunggul.

“Ini membolehkan negara melahirkan umat Islam yang mempunyai sifat terpuji seperti tolenrasi, menghormati dan saling membantu.

“Oleh itu, kita perlu bertadabbur untuk mendalami isi dan maksud yang disampaikan bagi memastikan kita tidak tersesat dalam kehidupan mahupun akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sembah ucapan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Selangor 1441H/2020 yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Masjid Negeri malam tadi.

Hadir mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mohd Amin berkata pembacaan yang khusyuk turut mampu menggerakkan hati individu itu menyahut dan melaksanakan perintah Allah.

Justeru, beliau menganggap penganjuran program setiap tahun adalah simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri bagi memartabatkan ilmu al-Quran.

Seramai 69 peserta lelaki dan wanita dari sembilan daerah memperdengarkan bacaan tilawah dan hafazan pada 14 hingga 17 Januari.


Pengarang :