Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441/2020M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pendidikan huffaz seimbang, lahirkan jurutera, akauntan

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Negeri optimis generasi huffaz seimbang dengan akademik dan tidak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata keseimbangan ilmu yang diperoleh itu dapat membantu pembangunan generasi berkenaan bukan sahaja dalam ilmu agama tetapi juga kerjaya.

“Keseimbangan ilmu ini membantu para huffaz berkomunikasi dan muncul dalam ruang yang sama iaitu bukan sahaja terkenal sebagai penghafal al-Quran sebaliknya melahirkan jurutera, akauntan dan sebagainya.

“Malah, huffaz juga mahir dengan ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan masa kini.

“Justeru, titik keseimbangan ini kita ingin kekalkan dari semasa ke semasa atas dasar pelaksanaan Kerajaan Negeri sama ada dalam pelbagai program dan pendekatan yang diwujudkan,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kanan) ketika pembukaan Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441H/2020M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441/2020M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Sementara itu, Amirudin berkata dalam pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM237 juta bagi tujuan pembangunan sekolah agama Islam, maahad tahfiz, pembayaran gaji guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) serta kakitangan kontrak bagi sektor pendidikan.

“Semoga peruntukan ini dapat melahirkan lebih ramai generasi huffaz dan Rabbani yang bakal menerajui kepimpinan pentadbiran Islam pada masa akan datang,” katanya.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran empat hari sehingga 17 Januari ini berjaya mengumpulkan seramai 18 peserta qari dan qariah bagi kategori Tilawah al-Quran dan 51 peserta lelaki dan perempuan bagi kategori Hafazan.


Pengarang :