Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari di Shah Alam yang berjaya menyuraikan masalah trafik sehingga 40 peratus dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 10 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAPILIHAN MINGGUAN

Penduduk lega kerja naik taraf jalan selesaikan masalah trafik

SHAH ALAM, 10 JAN: Projek Menaik Taraf Jalan B49 Persiaran Mokhtar Dahari yang menelan kos RM111.5 juta melegakan  penduduk apabila berjaya mengurangkan kesesakan trafik sehingga 40 peratus sejak ia siap September lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk yang mendiami kawasan Sunway Kayangan, Kayangan Height dan Alam Budiman.

Katanya, skop projek itu membabitkan naik taraf jalan sedia ada sepanjang empat kilometer (km) bermula dari Persimpangan Cahaya SPK hingga Persimpangan Jalan Buloh FT 3214, dua jejambat baharu dan kerja-kerja pengalihan utiliti.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian penyerahan Projek Menaik Taraf Laluan (B49) Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 10 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Setiap kawasan perumahan dianggarkan mempunyai 1,000 hingga 2,000 penduduk.

“Persatuan penduduk di ketiga-tiga kediaman mengakui pembinaan laluan ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah trafik dan memudahkan pergerakan mereka, malah mengurangkan risiko kemalangan yang kerap berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penyerahan projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JKR Selangor Ir Shahabuddin M Muhayidin, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim, Pengarah Urusan DPI Konsult Sdn Bhd (Perunding Projek) Ir Helmi Omar dan Pengarah Urusan Perbudi Sdn Bhd, (Kontraktor Utama) Mejar Mohd Sofian Shaikh Jaafar.

Amirudin berkata pembangunan projek itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memantapkan infrastruktur dan memberi kemudahan asas kepada rakyat.

Katanya, jalan raya menjadi penyumbang utama kepada peningkatan taraf hidup penduduk sama ada dari aspek perniagaan, pendidikan, keselamatan dan sosioekonomi.

“Sistem jalan raya yang efektif amat diperlukan untuk sesebuah negara dan juga negeri.

“Walaupun kos perlu ditanggung bagi pelaksanaan projek infrastruktur jalan raya sangat tinggi, namun kita sanggup melaksanakannya demi memenuhi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Projek berkenaan mula dibangunkan pada 1 Ogos 2016 dengan mengambil masa selama 144 minggu sebelum disiapkan.


Pengarang :