Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
AGENDANASIONAL

Peniaga ingkar guna produk biodegradasi dikompaun

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Sebanyak 432 notis amaran dan 1,156 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang tidak mematuhi arahan penggunaan produk biodegradasi di Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dalam pemeriksaan terhadap 2,707 premis perniagaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan itu, tindakan penguatkuasaan turut diambil kepada peniaga-peniaga yang tidak mematuhi larangan penggunaan straw.

“Untuk menggalakkan penggunaan produk biodegradasi, program-program berbentuk komunikasi, pendidikan dan kesedaran orang ramai (CEPA) terus dilaksana bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman serta kerjasama orang ramai dan peniaga.

“Selain itu, kita turut menggalakkan orang ramai membawa beg sendiri semasa beli-belah, membawa bekas sendiri sewaktu membungkus makanan dan menggunakan straw minuman alternatif seperti straw guna semula, kertas dan biodegradasi,” katanya.

Beliau berkata demikianpada program larian Kuala Lumpur Biodegradable Fun Run 2020 serta pelancaran kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Program yang julung kalinya diadakan itu disertai seramai 3,500 peserta, bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan produk biodegradasi khususnya di Wilayah Persekutuan.

Ia juga untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang penggunaan produk biodegradasi yang boleh diperoleh daripada sumber alam yang ada di sekeliling.

Turut diadakan pameran produk-produk biodegradasi seperti straw, bekas makanan, sudu, garpu dan beg plastik yang diperbuat daripada bahan alam semula jadi yang mudah terurai dan mesra alam iaitu tebu, jagung dan rumput.

Sementara itu, seorang peserta larian Sunita Zainul Abidin, 51, berkata acara larian seperti itu merupakan aktiviti yang sihat dan perlu disertai oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Ia juga sebagai tanda sokongan terhadap penggunaan produk biodegradasi di negara ini kerana kita tahu produk seperti beg plastik itu mengambil masa kira-kira 100 tahun untuk terurai dan boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :