Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peningkatan kes dijangkiti influenza masih terkawal

SHAH ALAM, 15 JAN: Trend kes influenza di seluruh negara menunjukkan peningkatan bermula minggu terakhir Disember lalu namun setakat ini belum ada kematian direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata peningkatan itu dikesan di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

Katanya kementerian juga mengambil maklum mengenai berita-berita yang tular mengenai kejadian jangkitan influenza di media sosial tetapi jangkitan itu masih terkawal.

Noor Hisham berkata jangkitan influenza tidak termasuk di bawah senarai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Namun, katanya, kementerian sentiasa memantau trend influenza dan kejadian wabak berkaitannya melalui sistem pelaporan sedia ada dari lokasi-lokasi sentinel yang dikenal pasti di seluruh negara.

“Kematian melibatkan kanak-kanak perempuan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 13 Januari 2020 bukan disebabkan jangkitan influenza.

“Bagaimanapun, kementerian masih menunggu laporan seorang kanak-kanak yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Selangor pada 12 Januari,” jelas kenyataan itu.


Pengarang :