Pemandangan udara di sekitar kawasan Plaza Tol Jalan Duta di bawah kendalian PLUS. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penurunan kadar tol raih penjimatan hingga RM1.1 bilion

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula 1 Februari ini membolehkan semua pihak terlibat meraih penjimatan langsung sehingga RM1.1 bilion tahun ini, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata penjimatan itu termasuk RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

“Bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi, sebaliknya boleh disalurkan kepada projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam mengesahkan keputusan kerajaan untuk menstruktur semula PLUS Malaysia Berhad berdasarkan cadangan yang dikemukakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Januari lalu mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di lapan lebuh raya.

Lebuh raya terbabit seperti berikut:

– Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
– Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)
– Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE),
– Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LinKedua)
– Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)
– Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH)
– Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE)
– Jambatan Pulau Pinang (JPP)


Pengarang :