Penguat kuasa MDKS menangkap lembu yang berkeliaran di beberapa kawasan di Kuala Selangor, baru-baru ini. Foto ihsan MDKS
ADNSELANGOR

Percepat projek penempatan lembu terbiar demi keselamatan penduduk

SHAH ALAM, 7 JAN: Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis menggesa projek penempatan lembu terbiar di Olak Lempit, Kuala Langat dipercepatkan bagi mengatasi isu haiwan itu berkeliaran dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Kerajaan Negeri sedang membina penempatan khas haiwan itu dijadual siap tahun lalu tetapi beliau diberitahu penyerahan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya dibuat Mac ini.

“Hal itu kerana kerja pendawaian masih sedang siapkan. Diharap perkara ini diselesaikan segera. Pemilik lembu rayau ini juga harus bertanggungjawab dan bekerjasama untuk kebaikan bersama.

“Jika projek itu siap sepenuhnya, penternak juga perlu menurut arahan memindahkan haiwan mereka ke Olak Lempit tanpa ingkar demi kebaikan bersama,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata di kawasan Bandar Botanik, haiwan berkenaan masih bebas berkeliaran kerana dilepaskan penternak yang tidak bertanggungjawab.

“Perkara berkenaan dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri lalu bagaimanapun masih menemui jalan buntu. Kita risau selain menggugat keselamatan isu kebersihan turut membimbangkan.

“Penternak ini bukan sahaja membiarkan haiwan mereka berkeliaran tetapi turut menceroboh tanah persendirian dan kerajaan untuk melakukan aktiviti penternakan sejak sekian lama.

“Ini menjadi masalah apabila haiwan ini bebas berkeliaran di kawasan berhampiran sehingga merunsingkan penduduk,” katanya.

Terdahulu, EXCO Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata terdapat 7,000 ekor lembu rayau di Selangor.

Izham berkata, Kerajaan Negeri juga mengkaji mengenakan denda tinggi kepada penternak yang sengaja membiarkan haiwan ternakan berkeliaran.

 


Pengarang :