Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri) dan Jasni Shafie (kanan) dalam pertemuan ketika memeterai persefahaman di Menara Perkeso, Kuala Lumpur, pada 6 Januari 2020. Foto MFL
AGENDASUKANKINI

Perkeso sambut baik SAM buat caruman untuk ahli, keluarga

SHAH ALAM, 6 JAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyambut baik langkah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang membuat caruman perlindungan kepada ahli dan keluarga sekiranya ditimpa musibah melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ahli SAM dan keluarga akan diberi perlindungan daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan melalui caruman yang dilancarkan pada 1 Januari itu.

“Caruman ini menawarkan faedah tunai kepada ahli dan tanggungannya selain rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional,” katanya ketika ditemui pada majlis memeterai persefahaman dengan SAM bersama presidennya, Jasni Shafie di Menara Perkeso, Kuala Lumpur, hari ini.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri termasuk petugas media sukan seperti wartawan, editor, jurukamera, jurugambar serta pihak yang terlibat di balik tabir.

Melalui skim baharu ini, Perkeso menawarkan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan yang memberikan faedah perubatan, hilang upaya kekal atau sementara, bayaran elaun dan faedah orang tanggungan, kemudahan pemulihan jasmani serta pendidikan.

Bagi Jasni, kerjasama ini membuka peluang kepada ahli SAM membuat persediaan menghadapi sesuatu tidak diduga terutama dalam suasana ekonomi semasa kini.

“Kami mahu kebajikan dan masa depan mereka serta ahli keluarga terbela sekiranya sesuatu yang buruk menimpa. Antara faedah kepada ahli SAM nanti ialah mereka yang ditimpa bencana pekerjaan boleh mendapat rawatan percuma di klinik panel Perkeso serta bayaran ganti belanja rawatan,’’ katanya.


Pengarang :