Perlawanan Piala Sumbangsih mempertemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim dan juara Piala FA, Kedah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perlawanan Sumbangsih JDT-Kedah pembuka tirai Liga-M 2020

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Perlawanan Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim dan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, Iskandar Puteri pada 28 Februari ini, menjadi pembuka tirai kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan, saingan Liga Super dan Liga Perdana, masing-masing akan melibatkan 12 pasukan dengan setiap pasukan bermain 22 perlawanan (11 sebagai pasukan tuan rumah dan 11 sebagai pasukan pelawat), dan kedua-dua liga berkenaan akan berlangsung dari Februari hingga Julai.

“Perancangan ini dibuat selepas MFL mengambil kira jadual pertandingan Liga Juara-Juara Asia 2020, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Piala AFF 2020, serta Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pasukan kebangsaan.

“Selain daripada itu, tarikh-tarikh undian dan perlawanan Piala FA 2020, turut diambil kira dalam penyediaan jadual Liga Malaysia musim ini,” demikian menurut MFL.

JDT layak secara automatik ke saingan kumpulan Liga Juara-Juara (ACL) selaku juara bertahan Liga Super, manakala Kedah dijadualkan berhadapan wakil Hong Kong, Tai Po di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada aksi pusingan kedua kelayakan ACL pada 21 Januari ini, bagi memburu slot ke saingan kumpulan ACL.

Mengulas lanjut, MFL menjelaskan saingan Liga-M 2020 akan diteruskan pada bulan Ramadan seperti beberapa musim terdahulu, iaitu melibatkan tujuh perlawanan secara keseluruhan iaitu, masing-masing tiga perlawanan Liga Super dan Liga Perdana, selain satu aksi Piala FA (suku akhir pertama).

“Setiap pasukan dijadualkan sekurang-kurangnya memperolehi dua hari perjalanan dan rehat di antara setiap perlawanan. Bagi pasukan Johor Darul Ta’zim dan Kedah (sekiranya layak) yang dijadualkan bermain dalam kelayakan ACL, kedua-dua pasukan akan menerima sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari perjalanan dan rehat.

“Semua pasukan yang dijadualkan bermain sebagai pasukan tuan rumah atau pelawat, tidak melebihi dua perlawanan berturut-turut bagi setiap pusingan,” jelas MFL.

Pentadbir Liga Malaysia itu memaklumkan saingan Liga-M akan berehat semasa ‘FIFA Days’ bagi memberi peluang kepada skuad Harimau Malaya mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sementara itu, MFL mendedahkan tiga venue baharu bakal digunakan pada saingan Liga-M 2020, iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (JDT), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu FC) dan Stadium UKM Bangi (UKM FC).

Enam pasukan pula akan berkongsi stadium yang sama untuk saingan Liga-M 2020.

Pasukan-pasukan berkenaan adalah PDRM (Liga Super) dan Kuala Lumpur (Liga Perdana) yang menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras; dua pasukan Liga Perdana – Kuching FA dan Sarawak (Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching), selain dua lagi pasukan Liga Perdana iaitu Kelantan dan Kelantan United, yang bakal menggunakan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.

Pada masa sama, MFL turut mengingatkan pasukan Liga-M yang berhasrat untuk menggunakan beberapa venue lain, supaya dapat membaikpulih serta menaik taraf lampu limpah sehingga mencapai tahap pencahayaan 1,200 lux, bagi membolehkan ia digunakan untuk aksi pada waktu malam.

– BERNAMA


Pengarang :