SHAH ALAM, 19 JAN: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan kepada 2,000 pelajar pada Program Prihatin Kembali Ke Sekolah anjuran Yayasan MyPrihatin di sini hari ini.
Sumbangan dua pasang baju sekolah diberikan kepada setiap pelajar golongan asnaf, orang kelainan upaya dan anak yatim dari lima sekolah rendah di negeri ini.
Turut mengiringi baginda ke majlis yang berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam, Pengerusi Yayasan MyPrihatin Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan dan isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad.
Selain menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah, Yayasan MyPrihatin turut membantu pesakit jantung kronik kanak-kanak dan melaksanakan pelbagai program kebajikan lain.
Sementara itu, Halimaton berkata, setiap pelajar menerima dua pasang baju sekolah yang berkualiti yang ditempah khas melalui peserta Program Jana Ekonomi Prihatin (Projek Prihatin).
“Peserta Projek Prihatin ini terdiri dalam kalangan ibu tunggal dan suri rumah yang kurang berkemampuan tetapi belajar kemahiran menjahit,” katanya.
Katanya, Yayasan MyPrihatin akan terus menjalinkan kerjasama dengan syarikat korporat bagi membantu membangunkan sosio ekonomi masyarakat negara ini.