PBTSELANGOR

Permit, undi tempat niaga sempena Thaipusam dibuka 30 Januari

SHAH ALAM, 21 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengadakan jualan permit dan undian tapak niaga sempena Thaipusam di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 30 Januari ini, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata pihaknya menawarkan 300 petak niaga berkeluasan 7×7 kaki persegi setiap satu untuk perniagaan barang kering, makanan, minuman dan salon rambut.

“Sewa bagi salon rambut RM200 manakala perniagaan lain RM150,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPS juga mengekalkan konsep hotspot dengan menawarkan 70 petak niaga yang setiap satu berkeluasan 10×10 kaki persegi di kawasan tumpuan.

“Sewa petak niaga di kawasan tumpuan RM600 untuk salon rambut manakala RM500 untuk menjual barang lain,” katanya.

Tempoh permit yang diluluskan untuk perniagaan lima hari bermula 6 Februari.

Pemohon permit petak niaga yang menjual makanan dan minuman diwajibkan memiliki sijil kursus pengendalian makanan dan mengambil suntikan TY2 (Tifoid) sementara peniaga salon rambut perlu memiliki sijil pemeriksaan kesihatan (Hepatitis B, HIV & TIBI).

Thaipusam bakal disambut penganut Hindu pada 8 Februari ini.


Pengarang :