Dato’ Seri Amirudin Shari dan tetamu kehormat bersama plak selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records Kediaman Pangsapuri Yang Mempunyai Bilangan Fasiliti Terbanyak 2019 di BSP21 Saujana Putra pada 14 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Persaingan sengit tuntut pemaju lebih kreatif, inovatif

KUALA LANGAT, 14 JAN: Pemaju hartanah perlu tampil lebih kreatif dan inovatif dalam menyediakan kemudahan pembangunan baharu bagi menarik lebih ramai pembeli, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keadaan semasa menuntut pemain industri untuk lebih berdaya saing bagi memenuhi kehendak pasaran dengan mutu perkhidmatan berkualiti bagi memenuhi kehendak masyarakat.

“Saya juga menggesa pegawai kerajaan untuk turut mengambil pendekatan sama supaya suatu hari nanti mereka juga mampu bersaing pada peringkat swasta.

“Misalnya seorang akauntan di Kerajaan Negeri, saya cabar mereka untuk bersaing agar mampu berkhidmat pada peringkat swasta seperti di anak syarikat kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada LBS Bina Group Berhad (LBS) di Bandar Saujana Putra di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak sempena Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records Kediaman Pangsapuri Yang Mempunyai Bilangan Fasiliti Terbanyak 2019 di BSP21 Saujana Putra yang dibina LBS Bina Group Berhad (LBS) pada 14 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata, tawaran kemudahan lebih baik pastinya mampu menarik pembeli masa kini dan menjadi pemangkin proses urbanisasi kawasan baharu seperti di Bandar Saujana Putra.

Katanya, dalam persaingan perniagaan dan dunia semakin kompetitif, pihak berkaitan pastinya memerlukan nilai tambah dalam produk dihasilkan serta kemudahan perkhidmatan ingin ditawarkan.

“Kalau sekadar buat rumah dengan kemudahan biasa ia juga akan terjual kepada orang ramai tetapi persaingan yang sangat besar di Lembah Klang menuntut kita tampil dengan kelainan.

“Saya percaya ia juga akan membuka lagi persaingan dan memberikan nilai tambah kepada penduduk di Selangor,” katanya.


Pengarang :