Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi Yusairi Ismail (kiri) membuat saringan suhu badan di laluan ketibaan antarabangsa feri dari Koh Lipe, Thailand di Terminal Feri Kuah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Persatuan perubatan sokong langkah kerajaan tangani koronavirus

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Beberapa pemimpin dan pakar daripada 14 persatuan perubatan di Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyatakan sokongan kepada Kementerian Kesihatan terhadap usaha melindungi kesihatan rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan itu mereka turut menggesa rakyat supaya bersikap lebih tenang dan munasabah dalam mendepani wabak koronavirus 2019 serta mempercayai maklumat daripada sumber yang boleh diharap dan dipercayai, terutama saluran rasmi Kementerian Kesihatan.

“Kami menggesa supaya rakyat lebih bertanggungjawab dalam media sosial. Menyebarkan khabar angin atau berita palsu adalah menyalahi undang-undang dan akan mengganggu Kementerian Kesihatan dalam memberikan tindak balas kepada kesihatan awam yang lebih penting,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut merujuk kejayaan golongan profesional kesihatan Malaysia dalam melindungi Malaysia ketika wabak Nipah pada tahun 1998, SARS pada 2003, H1N1 pada 2009 dan MERS-CoV pada 2015.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pakar Sistem Kesihatan dan Polisi, Dr Khor Swee Kheng; Pengasas MERCY Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood; Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali; Presiden Persatuan Pakar-Pakar Kesihatan Awam, Dr Zainal Ariffin Omar; Ketua Akademi Perubatan Malaysia, Prof Dr Rosmawati Mohamed; Presiden Persatuan Perubatan Islam (IMAM), Dr Jeffry Abu Hassan dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N.Ganabaskaran.

Selain itu, Pengerusi IKRAM Health Malaysia, Dr Abdul Halim Sibghatullah; Presiden Akademi Pakar Perubatan Keluarga, Prof Dr Mohammad Husni Jamal; Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Amrahi Buang; Presiden Medical Mythbuster Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris; Presiden Persatuan Jururawat Malaysia, Sharipah Asiah Syed Junid Aljunid dan Presiden Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Mustafa Abd Majid.

-BERNAMA


Pengarang :