Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menggaul ‘Yee Sang’ semasa mengunjungi kediaman Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group of Companies, Dato’ Raymod Ho, di Taman Melati sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Selayang Indah, Batu Caves. 24 Januari 2020.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Perutusan Dato’ Menteri Besar sempena Tahun Baru Cina

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2020 kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Sambutan Tahun Baru Cina kali ini amat bermakna kepada semua kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan silaturrahmi antara kawan dan keluarga.

Menurut kiraan zodiak Cina yang mempunyai 12 haiwan, Tahun Baru Cina 2020 merupakan tahun tikus, khususnya tikus besi yang mempunyai sifat-sifat berdisiplin, cermat, rajin dan pintar.

Astrologi Cina berkait rapat dengan Kalendar Cina juga menjadi antara panduan sambutan Tahun Baru sejak dulu lagi dan amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

Di Selangor, Kerajaan Negeri mempunyai iltizam sentiasa berdisplin dan rajin bekerja demi memastikan tiada sesiapapun ditinggalkan atau ‘No one will be left behind’ dalam meningkatkan daya ekonomi negeri.

Pada masa yang sama, kerencaman Negeri Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia perlu dipelihara demi anak cucu kita.

Saya sedar bahawa terdapat beberapa kumpulan dan individu yang mempunyai agenda tertentu demi menggunakan perbezaan etnik sebagai jalan untuk memecah-belahkan masyarakat kita.

Namun, saya amat yakin bahawa rakyat Selangor Darul Ehsan mampu mengetepikan pengaruh begini dan ‘take the higher road’ apabila berdepan dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Bagi tahun ini, saya bertekad untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi Negeri Selangor sambal memastikan aspek sosial dijaga, khususnya pendidikan dan keselamatan.

Misalnya, Belanjawan Selangor 2020 yang saya bentangkan pada 1hb November memperuntukan 5,000 CCTV pengimbas wajah ataupun ‘facial recognition’ yang akan dipasang di kawasan ‘hotspot’ sebagai langkah mengurangkan jenayah dan meningkatkan keselamatan di seluruh negeri.

Pendidikan juga diberi penekanan dari segi Program Tuisyen Rakyat Selangor yang akan memanfaatkan 10,000 pelajar dan bermula dari peringkat UPSR.

Selain itu, program Selangor Bitara juga akan memfokus bantuan kepada pelajar Tingkatan 4 yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Inisiatif Peduli Rakyat seperti Skim Peduli Sihat diteruskan dan ditambah dengan bantuan bagi penyakit Tuberculosis serta program pencegahan penyakit denggi.

Saya percaya langkah-langkah seperti ini akan mengurangkan beban kewangan kepada rakyat serta memberi platform kepada semua untuk menjadikan tahun 2020 amat cemerlang.

Sempena Tahun Baru Cina ini, saya mengajak seluruh rakyat untuk menghargai kerencaman budaya dan kepercayaan di negeri kita dan memeliharanya demi kemakmuran Selangor.

Dari keluarga saya kepada masyarakat Tionghua, saya berharap sambutan kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan.

Xin Nian Kuai Le, Kung Hey Fat Choi.

Xin Nian Jin Bu, Fu Shou Shuang Quan

 

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor


Pengarang :