Gambar hiasan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pindah lembu terbiar ke Olak Lempit elak dirampas

PETALING JAYA, 15 JAN: Penternak lembu terbiar yang gagal memindahkan ternakan ke pusat penempatan haiwan di Olak Lempit, Kuala Langat pada Mac ini berdepan tindakan dirampas, kata Ir Izham Hashim.

EXCO permodenan pertanian dan industri asas tani berkata projek berkeluasan 50 ekar akan siap dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi.

Katanya,  terdapat kira-kira 5,000 ekor lembu rayau yang dibiarkan penternak di negeri ini.

“Fasa 1 membabitkan tanah seluar 50 ekar dibina sebagai pusat penempatan haiwan dan selepas itu Kerajaan Negeri akan memperluaskan pusat itu ke tempat lain secara berperingkat bagi memenuhi keperluan penternak.

“Kita telah mengenal pasti 82 penternak akan memindahkan haiwan masing-masing ke pusat Olak Lempit,” katanya ketika ditemui di tapak pembuangan sampah haram berhampiran Tapak Perkuburan Islam Taman Medan di sini semalam.

Ir Izham berkata, tiada alasan untuk penternak menolak tawaran menempatkan haiwan di pusat yang disediakan kerana harga sewa hanya RM200 setahun.

“Tempat sangat cantik dan kondusif, sewa murah jadi tidak ada alasan untuk tolak. Negeri maju tetapi lembu masih berkeliaran adalah tidak betul,” katanya.


Pengarang :