Orang ramai tidak melepaskan peluang merakam 555 dron diterbangkan dan disusun membentuk logo seekor burung helang pada majlis pelancaran projek demonstrasi 5G Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: 5G jana pendidikan berkualiti

LANGKAWI, 20 JAN: Teknologi 5G boleh menjamin kualiti pendidikan bergerak maju dan berkembang jauh, menghubungkan kelompok di kawasan luar bandar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis pelancaran Projek Demonstrasi 5G di sini malam tadi menegaskan pendidikan kunci utama memastikan teknologi dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata dengan 5G, pembelajaran boleh bergerak melampaui ruang kelas dan pelajar dapat berinteraksi dengan cara berbeza berbanding dilakukan hari ini.

“Sekarang bertambah penting untuk membangunkan kemahiran dalam kalangan anak muda Malaysia, yang memerlukan bukan hanya kemahiran berasaskan data tetapi ketangkasan mental.

“Pendidikan dan pemahaman teknologi dalam kalangan pelajar dan mereka yang berada dalam kelompok tenaga kerja tidak lagi boleh bertangguh. Ia perlu diberi penekanan dan dipromosi sekarang,” katanya pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi.

-BERNAMA


Pengarang :