Foto Sumber: BERNAMA
BERITA UTAMA

PM: Laksanakan teknologi 5G secara komersial suku ketiga 2020

LANGKAWI, 19 JAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia sudah bersedia melaksanakan kemudahan Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G) secara komersial pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata ini menandakan permulaan penting perjalanan negara ke arah memperkukuhkan ekonomi bagi mencapai pertumbuhan mampan dan perkongsian kemakmuran dengan rakyat.

“ (Ini juga) akan memastikan kita mencapai matlamat menyediakan setiap warganegara dengan taraf kehidupan wajar menjelang 2030,” kata Dr Mahathir semasa melancarkan Projek Demonstrasi 5G Malaysia di sini.

Beliau berkata persediaan melaksanakan teknologi 5G sedang berkembang dengan baik sejak beliau melancarkan Pameran 5G Malaysia di Putrajaya pada April tahun lalu.

Dr Mahathir berkata teknologi 5G boleh bertindak sebagai infrastruktur untuk pertumbuhan inovatif.

Katanya teknologi akan terus mengubah kaedah orang melakukan sesuatu perkara.

“Kita berdepan risiko ketinggalan jika kita tidak berubah, sebaliknya, mereka menawarkan cabaran baharu dan menarik serta peluang yang tidak dapat diukur sekiranya kita mampu mendampinginya,” katanya.

Katanya rakyat perlu pintar dan seandainya kekal tidak berubah, negara tidak akan mampu bersaing dalam ekonomi global.

-BERNAMA


Pengarang :