Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM lepas jawatan menteri pendidikan selepas dapat pengganti

LANGKAWI, 11 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melepaskan segera jawatan menteri pendidikan yang dipangkunya sebaik sahaja mendapat pengganti.

Beliau berkata jawatan berkenaan dipegang buat sementara waktu dan bakal menteri baharu akan dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bila dapat pilih satu orang untuk ambil alih (jawatan menteri pendidikan) akan lepas jawatan ini, cuma sementara sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2020 di sini malam ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Dr Mahathir memangku jawatan menteri pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu, seperti diputuskan oleh jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Januari lalu.

Pada 2 Januari lalu, Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya selepas memegang portfolio itu selama 20 bulan.

Mengulas bayangan rombakan Kabinet dalam masa terdekat, beliau berkata, “Tidak tahulah mengenai rombakan Kabinet tetapi tentu ada menteri pendidikan baharu.”

Beliau juga bersedia menerima kemungkinan akan ada lagi menteri yang berhasrat melepaskan jawatan seperti Dr Maszlee.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata pihaknya juga sedang mengkaji keperluan ‘memecahkan’ Kementerian Pendidikan dengan Pengajian Tinggi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :