Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukir Aman Datuk Cheong Koon Kok bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 13 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis gagalkan satu plot serangan pengganas berskala besar

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan satu plot serangan berskala besar melibatkan kumpulan pengganas Al-Qaeda dan Daesh di dalam negara ini sepanjang tahun lepas.

Mendedahkan kejayaan itu, Timbalan Pengarah, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata seramai 10 individu masing-masing dua warga tempatan dan lapan rakyat asing ditahan bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata kumpulan yang ditahan itu adalah anggota Al-Qaeda dan Daesh yang berhasrat untuk menubuhkan sel di Malaysia.

“Melalui operasi itu, maklumat dikongsi dengan agensi perisikan asing dan berjaya menggagalkan plot serangan berskala besar yang dirancang kumpulan berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, sepanjang tahun lepas juga, polis merampas enam Alat Letupan Termampat (IED), selaras senjata api dan 15 peluru yang akan digunakan kumpulan pengganas untuk menyerang rumah ibadat susulan kematian seorang anggota bomba,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 PDRM, di Bukit Aman di sini, hari ini.

Cheong berkata sepanjang tahun lepas juga, Cawangan Khas berjaya menahan 72 suspek iaitu 26 warga tempatan manakala selebihnya warga asing kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan.

Beliau berkata selain itu, Cawangan Khas turut terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan di empat kontinjen iaitu Kedah, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan yang melibatkan 29 tangkapan, tahun lepas.

“Menerusi operasi itu juga, polis berjaya merampas pelbagai barang dengan nilai rampasan melebihi RM3 juta,” katanya.

Selain itu, Unit Cawangan Khas juga telah diberi mandat membuka kertas siasatan kes pemburuan haram bermula tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :