AGENDANASIONAL

Polis Selangor tekad perangi golongan cetus isu perkauman

SHAH ALAM, 8 JAN: Polis Selangor bertekad memerangi golongan yang cuba memainkan isu perkauman dan menghidupkan semula gerakan subversif  kebelakangan ini.

Ketua polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata tumpuan akan diberi bagi menangani ancaman keganasan, perkauman, agama, politik dan luar negara.

Beliau berkata pihaknya berazam mengekalkan ketenteraman awam memandangkan trend ancaman dihadapi masih berlaku dan perlu dibanteras secara optimum.

“Pelaksanaan kursus atau latihan terutama dari sudut perisikan amat dititikberatkan bagi memberi ilmu pengetahuan kepada semua pegawai dan anggota.

“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam sudah menggerakkan semua elemen di bawah kawalannya dengan melancarkan operasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Beliau juga mahu memastikan sempadan negara sentiasa terkawal daripada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan migran, penyeludupan barangan larangan dan barangan kawalan serta bersubsidi.

“Ini termasuk pencerobohan perairan oleh nelayan asing, aktiviti mencuri pasir di perairan negara, kawalan acara rasmi negara dan perhimpunan aman,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan Negeri serius untuk mengurangkan kadar jenayah dan bakal menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) kepada 5,000 unit terutama di kawasan panas.

Setakat Oktober tahun lalu, sebanyak 775 unit CCTV dipasang di seluruh negeri dan 4,225 akan ditambah tahun ini.

CCTV juga dilengkapi teknologi pengenal wajah (face recognition) yang diselia dari pusat arahan yang diwujudkan untuk menyelaras data bagi tujuan keselamatan.


Pengarang :