Kelihatan beberapa pelancong memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus 2019 ketika tinjauan di ibu negara pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis, SKMM beri amaran sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Amaran itu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyatakan perbuatan itu boleh menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.

“PDRM dan SKMM mengambil serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam,” menurut kedua-dua badan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Dalam pada itu, PDRM dan SKMM mengenal pasti empat individu bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus.

Pemantauan dua pihak itu juga mendapati media sosial dan pesanan dalam talian menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai koronavirus.

Menurut kenyataan itu lagi penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” menurut PDRM dan SKMM.

Orang awam juga digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai koronavirus sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutama maklumat yang dikeluarkan pihak selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sila rujuk kepada sumber rasmi KKM (www.moh.gov.my/) atau badan kesihatan antarabangsa (https://www.who.int/) bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai koronavirus,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :