Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan semula pelancong China disyaki dijangkiti koronavirus

JOHOR BAHRU, 26 JAN: Kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang disyaki dijangkiti koronavirus dan dilarikan ibu bapanya yang mengelak kuarantin di sini, sudah ditahan semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 9.20 malam tadi, lapor BH ONLINE.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din, juga mengesahkan laporan polis dibuat seorang doktor Hospital Sultanah Aminah awal pagi semalam mengenai kejadian itu yang tular di media sosial malam tadi.

“Ya. Malam tadi mereka sudah ditahan semula di lapangan terbang dan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ)bagi tindakan lanjut

“Malam tadi juga semua mereka dirujuk ke hospital bagi dikuarantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam tular di laman sosial berhubung laporan polis dilakukan seorang doktor berusia 26 tahun awal pagi semalam mengenai seorang kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang dibawa keluar dari sebuah hospital awam, di sini oleh ibunya bapanya sekali gus ingkar arahan untuk menjalani kuarantian selepas disyaki mempunyai simptom wabak coronavirus.

Difahamkan ibu bapa kanak-kanak itu tidak mahu anak mereka yang mempunyai simptom koronavirus itu dikuarantin kerana mahu menaiki penerbangan pulang ke China.

Menerusi laporan polis yang tular, kanak-kanak itu mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk serta dinasihat untuk dikuarantinkan.

Namun, bapanya terus berdegil walaupun dijelaskan mereka tidak akan dapat melepasi pemeriksaan ketat di lapangan terbang, sebaliknya hanya mahu anaknya dirawat dengan ubat demam dan batuk sahaja.


Pengarang :