Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
BERITA UTAMANASIONAL

Positif koronavirus, tiga warga China dirawat di Sungai Buloh

PUTRAJAYA, 25 JAN: Tiga warga China yang di kuarantin di Johor Bahru, Johor disahkan positif bagi koronavirus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka merupakan ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki yang berusia 66 tahun dari Wuhan, China yang didapati positif bagi virus itu di Singapura, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tiga yang terlibat merupakan seorang wanita berusia 65 tahun, yang merupakan isteri pesakit di Singapura itu, dan dua cucu lelakinya.

Dr Dzulkefly berkata ketiga-tiga pesakit terbabit diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh memandangkan ia pusat rujukan bagi penyakit berjangkit.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan pengesanan sentuh mereka yang mungkin telah berhubung dengan pesakit terbabit di Johor Bahru.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 11 kes disyaki 2019-nCoV di negara ini yang mempunyai sejarah perjalanan ke China, sudah disaring dan 10 daripadanya disahkan negatif.

“Seorang lagi yang juga rakyat Malaysia bagaimanapun sedang diasingkan di Hospital Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Mengenai rawatan kepada pesakit, Dr Dzulkefly berkata buat masa ini tidak terdapat ubat khusus untuk jangkitan koronavirus dan pesakit hanya dirawat menggunakan ubat-ubatan sedia ada mengikut simptom yang ditunjukkan seperti batuk atau demam.

Katanya, siasatan yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pelbagai pihak yang terlibat juga masih tidak dapat memberikan jawapan yang jelas serta tidak dapat mengenalpasti bagaimana sebenarnya jangkitan virus itu menular kepada manusia.

-BERNAMA


Pengarang :