Kediaman PR1MA yang terletak dalam kawasan berkomuniti mempunyai pelbagai jenis dan saiz, dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000. Foto Facebook Residensi PR1MA Alam Damai.
AGENDANASIONAL

PR1MA bakal jadi sebahagian Perbadanan Perumahan Negara

PUTRAJAYA, 8 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang menjadikan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sebahagian daripada Perbadanan Perumahan Negara bagi memastikan industri perumahan terpusat dan standard serta memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin yang menafikan dakwaan PR1MA bakal dibubarkan tidak lama lagi, berkata kerajaan sebaliknya melihat ke hadapan untuk perbadanan itu, antaranya projek perumahan di bawah Kementerian Pendidikan dan Pertahanan serta generasi baharu Felda di bawah PR1MA.

“Kerajaan berharap dapat menggerakkan PR1MA seperti Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menyelesaikan beberapa masalah PR1MA termasuk unit yang tidak terjual.

Semasa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2019, PR1MA menjual 9,306 unit dan memperoleh 19,170 tempahan katanya.

PR1MA ditubuhkan di bawah kerajaan terdahulu melalui Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menyelenggara perumahan berkualiti tinggi dengan konsep gaya hidup untuk isi rumah berpendapatan sederhana di pusat bandar utama dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan, ia meletakkan PR1MA di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :