Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Pusat Daerah Mengundi Bahagian Mawao, Membakut pada 7 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK Kimanis: Jangan percaya helah pembangkang burukkan PM

KIMANIS, 8 JAN: Rakyat Sabah diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pelbagai tuduhan pembangkang yang sengaja memburukkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Dr Mahathir adalah pemimpin yang memahami kehendak dan aspirasi negeri ini dan banyak kebaikan yang sudah dilakukan kepada Sabah.

“Misalnya saya minta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) itu dikembalikan kepada Sabah, dan beliau (Dr Mahathir) meluluskan. Begitu juga pengurusan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di Semporna, sebelum ini mengurusnya bukan kita (Sabah) tetapi Majlis Keselamatan Negara.

“Kita minta dengan Tun Dr Mahathir, tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dia putuskan pengurusan dan pentadbiran pulau itu diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Krismas di Kuala Pos Bongawan Estate dekat sini, semalam.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berkata terdapat banyak lagi rundingan dilakukan kerajaan Sabah bersama Dr Mahathir.

“Banyak sudah kita (Sabah) minta, tetapi tidak cukup. Maknanya apa yang rakyat bagi undi dengan kita (pada Pilihan Raya Umum Ke-14), sedikit sebanyak dalam satu tahun lebih (memerintah) sudah ada hasil,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksana di kawasan Parlimen Kimanis, penduduk perlu menterjemahkan sokongan dengan mengundi dan memberi kemenangan kepada calon Warisan Datuk Karim Bujang pada PRK Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan hari pengundian awal pada 14 Januari.

-BERNAMA


Pengarang :